ADSENSE

Ahad, 30 Julai 2017

Kek Lapis Limau Purut

Alhamdulillah, terjumpa gambar-gambar Kek lapis Limau Purut dalam folder yang belum sempat dikongsi. Resepinya Amie pinjam dari dapur BROTHER ROZZAN.
Ketika menaip entri ini, masih terhidu aroma limau purut!
Kepada peminat kek lapis, cubalah resepi ini ye.

Bahan-Bahan250 gram mentega
2 sudu makan susu pekat
½ tsp vanilli
10 kuning telur
4 putih telur
160 gram gula
90 gram tepung Hong Kong
2 sudu makan badam kisar
½ sudu teh baking powder
1½ - 2 sudu makan kulit limau purut (parut)
1 tsp warna hijau

Peraturannya
1. Mentega, vanilli dan susu pekat dikacau hingga kembang. Ketepikan.
2. Pukul putih telur bersama baking powder hingga kembang. Masukkan gula sedikit-sedikit sehingga habis. Pukul lagi hingga naik dan pekat.
3. Masukkan kuning telur satu persatu dan terus pukul hingga sebati.
4. Masukkan mentega yang telah dikacau tadi ke dalam adunan putih telur. Kacau rata-rata lalu masukkan tepung sedikit demi sedikit.
5. Masukkan badam dan parutan limau purut. Kacau hingga rata. Bahagi adunan kepada 2 bahagian. Satu biarlah plain dan yang satu lagi dibubuh pewarna hijau.
6. Bakarlah selapis demi selapis hingga masak.

Nota: (Brother Rozzan)
1. Saya gunakan loyang berukuran 7"x7".
2. Setiap lapisan saya gunakan 1 senduk bumbung adunan.
3. Bakar menggunakan api grill (suhu 200 - 210 C) 


Amie gunakan loyang 8"X8" dan sebenarnya 'terlupa' bubuh serbuk badam untuk setiap lapisan! Satu lagi, agaknya banyak mengelamaun sewaktu mengadun, Amie bubuh warna dalam satu adunan! Lain kali kalau rajin melapis lagi, Amie akan bubuh serbuk badam dan buat dua warna seperti resepi asal!

Apa pun Kek Lapis Limau Purut ini memang sedap! Terima kasih Brother Rozzan. Moga sentiasa murah rezeki dan sihat selalu!

Ikan Salmon Masak Tempoyak

Selamat berhujung minggu.
Hari ini Amie kongsikan resepi ala fusion, Ikan Salmon Masak Tempoyak. Sesekali 'timurkan' ikan salmon tentu dapat selera yang berbeza! Bila sebut masakan berkuah, berasaskan tempoyak....mmmmm! Tak payah fikir dua atau tiga kali untuk mengolahnya! Terbayang betapa enaknya menikmati nasi putih dengan kuah tempoyak yang melimpah!
Resepi masak ikan dengan tempoyak ini Amie ikut cara masakan dari dapur Puan Sri Zanita Ramli : KASIH ILMAR.
Sebelum ini pun, Amie pernah mencuba resepinya dengan menggunakan bahan yang sama iaitu : IKAN JENAHAK MASAK TEMPOYAK.
Buat rakan blogger masakan, Puan Sri Zanita Ramli, terima kasih daun keladi, kerana banyak resepi menyihatkan dan penuh berkhasiat dikongsi dalam blog beliau.


Bahan-bahan:
3 keping ikan salmon
4 sudu besar tempoyak
7 tangkai daun kesum
7 biji kacang bendi 
15 biji cili padi merah - Amie gunakan cili padi minyak
3 cm kunyit hidup
2 batang serai - dititik
5 cawan air
garam / gula / perasa pilihan secukupnya
 
Cara memasak:
1. Tumbuk cili padi bersama kunyit hidup hingga hancur.
2. Panaskan air dalam kuali / periuk dan masukkan semua bahan tumbuk, serai dan tempoyak.
4. Biarkan mendidih, dan kemudian masukkan daun kesum, kacang bendi dan ikan salmon.
5. Kecilkan api, dan renih hingga ikan masak.
6. Perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan.

Sabtu, 29 Julai 2017

Sup Pedas Ikan Jenahak

Sesekali hirup kuah sup pedas mesti sedapkan?
Jom kita masak sup ikan jenahak, bubuh cili padi sikit! Oppsss! Nak meletop....tambah lada putih!

Bahan-bahan:
2 keping ikan jenahak
2 biji kentang - kupas kulit dan potong kecil
1/2 batang lobak merah - kupas kulit dan potong bulat
1 sudu kecil pati asam jawa - boleh gantikan dengan asam keping
2 cm halia - diketuk
2 cm lengkuas - diketuk
1 batang serai - diketuk
10 biji cili padi - pecahkan
1/2 sudu kecil lada putih - ditumbuk
1 liter air
3 sudu besar minyak
garam / gula /  perasa pilihan secukupnya 

Bahan penumis:
1 batang kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
3 biji buah pelaga
1 labu bawang besar - hiris kasar
3 ulas bawang putih - hiris
5 biji bawang merah - hiris

 Cara memasak:
1. Panaskan minyak dan tumis semua bahan penumis hingga wangi dan layu.
2. Masukkan kentang, lobak merah, serai, halia, lengkuas dan cili padi serta lada putih. Kacau sebati dan kemudian tambahkan air. Biarkan masak hingga mendidih.
3. Masukkan ikan jenahak. Biarkan masak selama 5 hingga 7 minit. 
4. Perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan.
5. Padamkan api dapur.
6. Hidangkan panas bersama hirisan daun sup dan perahan limau nipis jika suka.

Jumaat, 28 Julai 2017

Daging Kerbau Masak Kari dengan Umbut Kelapa

Kerbau?
Pernah makan daging kerbau semasa tinggal di asrama.
Dan kemudian makan daging kerbau masak kurma dengan umbut kelapa di majlis kahwin semasa tinggal beberapa bulan di Kampung Semantan, Ulu Raub, Pahang. Ketika itu, saja jew ikut arwah Ayahanda tinggal di sana (semasa cuti semester) sebab bantu Ayahanda menoreh getah di kebunnya.
Petang ini sempat masak daging kerbau! Sebelum ini hanya tahu makan.

 
Bahan-bahan:
500 gram daging kerbau - potong ikut suka - Amie rebus dahulu hingga hampir empuk dan kemudian hiris tebal
500 gram umbut kelapa - potong ikut suka
250 ml santan pekat
800 ml santan cair
4 sudu besar serbuk kari
3 pelepah daun kari - dilurut
1 batang kulit kayu manis
3 kuntum bunga lawang
5 biji buah pelaga
1 sudu kecil jintan manis
1 biji limau nipis - ambil jusnya
2 sudu besar minyak sapi
2 sudu besar minyak masak
garam / gula / perasa pilihan

Bahan hiris:
3 ulas bawang putih
7 biji bawang merah
1 labu bawang besar
2 cm halia
3 biji cili merah - potong 2

 
Cara memasak:
1. Panaskan minyak sapi dan minyak masak dan tumis bahan hiris hingga layu.
2. Masukkan kulit kayu manis, jintan manis, bunga lawang dan buah pelaga. Tumis kacau hingga naik bau.
3. Tambahkan serbuk cili serta serbuk kari dan daun kari. Jika terlalu kering, masukkan sedikit santan cair.
4. Masak sehingga pecah minyak dan kemudian masukkan daging kerbau. Gaul sebati.
5. Masukkan santan cair dan masak hingga kuah mendidih.
6. Kemudian masukkan umbut kelapa. Setelah daging kerbau dan umbut kelapa empuk, tambahkan pati santan.
7. Terus masak dengan api sederhana hingga pecah minyak sekali lagi.
8. Perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan.
8. Akhir sekali tuangkan jus limau nipis. Kacau sekali dua, dan padamkan api dapur.

Selasa, 25 Julai 2017

Kek Lapis Pisang

Lama tak kongsi resepi kek lapis.
Kali ini Amie kongsikan Kek Lapis Pisang pula. Resepinya Amie pinjam dari dapur Faeez: Bitter Sweet Spicy.
Terima kasih yang tidak terhingga kepada Faeez kerana berkongsi resepi dan memberikan penerangan yang jelas untuk menyiapkan kek lapis ini.

Izinkan Amie kongsikan resepinya di sini ye Faeez.
Ingredients:
110g plain flour (I used cake flour.)
200g vanilla ice-cream powder (I replaced this with Nespray full-cream milk powder.)
1 tsp rounded baking powder (I used 1 tsp (level) double-acting baking powder.)
4 egg whites
12 egg yolks
230g castor sugar
400g butter
200g Delmonte bananas, mashed (I  used pisang berangan.) - use ripe bananas for sweeter banana flavour
a few drops of yellow colouring (optional)
1 tsp banana essence

Method:

  1. Line & grease the bottom of 10x7 or 8x8-inch pan. Preheat the grill (top heat only) on medium high heat, about 180 deg C.
  2. Combine flour, milk powder & baking powder & sift. Leave aside.
  3. Cream butter until creamy white. Add in mashed banana & banana essence & mix until well blended. Keep aside.
  4. In a clean & dry bowl, beat egg whites till soft peak, add in sugar gradually & continue to beat until sugar has dissolved. Then add in yolks one at a time till finished.
  5. Reduce speed of machine to the slowest possible & slowly add flour mixture a little at a time. Stop the machine. Add butter mixture, yellow colouring & gently fold batter with a wooden spoon to combine well.
  6. Pour 90g of  batter into a  lined & greased pan. Grill until cooked & the top of cake turns brown. Remove pan from the oven & press the top of cake using a lapis presser. Pour in another 90g of batter & bake. Repeat the process until finished.
  7. Finally after the final layer, turn off grill & heat oven (top & bottom heat) to 150 deg C & bake the cake for 10-15 minutes. (This step is required for this lapis because the cake is very moist, so baking the whole cake after baking the last layer ensures that the cake, especially its sides, is not so wet.) *For more tips on baking lapis cake, refer to my post here.
Entah kenapa, tak boleh muat naik gambar dari folder. Nampaknya setakat dua keping gambar ini sahajalah yang dapat Amie kongsikan. Kepada yang berminat untuk mencuba, dipersilakan. Tak rugi! Berbaloi dan sedap!

Ahad, 23 Julai 2017

Sup Ayam Hutan Tumis Darat

Selamat berhujung minggu buat rakan pengunjung Amie's Little Kitchen.
Nampaknya hujung minggu bukan bererti kita boleh berehat panjang, kerana ketika inilah sahaja kita berpeluang untuk seharian bersama keluarga dan pada masa yang sama mengambil kesempatan membersihkan segala enjuru rumah, luar dan dalam! Itu pun kalau sempat, atau kalau larat! Amie mengaku kalah! Memang tak larat dengan kudrat dan tulang empat kerat! Memang tenaga Encik Suami dan anak-anak sangat diperlukan!
Jom kita cerita tentang resepi hari ini. Pagi tadi, seawal pukul 7 pagi Amie sudah mula masak.... he he heee bukan masak untuk sarapan, tapi masak untuk hidangan tengahari. Amie masak sup ayam hutan gunakan slow cooker. Pukul 8.30 pagi kami keluar untuk bersarapan, dan terus ke pasar tani. Singgah sebentar di pasar raya dan terus melencong ke kampung Encik Suami mencari daun kesum segar! Sampai rumah, jam sudah menunjukkan angka 11.30 pagi. Aroma sup ayam hutan menerpa ke hidung ketika kami buka pintu dapur!

Akhirnya terhidanglah Sup Ayam Hutan Tumis Darat yang direnih selama 7 jam menggunakan slow cooker. Maklumlah, daging ayam hutan kerasnya mengalahkan ayam jantan kampung! Boleh jew masak gunakan pressure cooker, tapi Amie lebih berminat untuk memasak slow...slowwww...... Encik Suami kata, alangkah sedapnya makan nasi dengan sup ayam hutan!

Saiz ayam hutan kali ini agak kecil sedikt berbanding ayam hutan yang Amie masak ungkep pada mingu lepas. Amie potong menjadi 8 bahagian.  Amie masukkan air panas mendidih ke dalam slow cooker, dan kemudian masukkan potongan ayam hutan bersama halia dan sebiji bawang besar di potong dadu. Amie kongsikan resepinya di bawah ini.

Bahan-bahan:
1 ekor ayam hutan yang sudah dibersihkan - potong menjadi 8 bahagian
1 labu bawang besar - potong dadu 
3 cm halia - diketuk
1.8 liter air panas mendidih
4 biji kentang - kupas dan belah dua
1 batang lobak merah - kupas dan potong bulat

Cara:
Masukkan kesemua bahan di atas ke dalam slow cooker. Tekan butang slow dan biarkan masak hingga daging ayam hampir empuk. Masukkan kentang dan lobak merah. Biarkan sup terus direnih

Bahan tumbuk: / kisar
3 ulas bawang putih
3 biji bawang merah
7 biji cili padi - kalau nak lebih pedas, boleh tambah lagi
1/2 sudu kecil lada putih
1 sudu besar ketumbar biji
1 sudu kecil jintan putih
1 sudu kecil jintan manis

Bahan penumis:
1 batang kulit kayu manis 
3 kuntum bunga lawang
3 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga
1 labu bawang besar - hiris kasar
2 batang serai - diketuk
3 cm lengkuas - diketuk 
2 bonggol pokok ketumbar - rendam dalam air supaya pasirnya tanggal - bilas hingga bersoh dan ketuk sedikit

Bahan lain:
3 sudu besar minyak
garam / perasa pilihan
hirisan daun ketumbar
bawang goreng 

Cara:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan penumis hingga harum.
2. Kemudian masukkan bahan tumbuk dan tumis lagi hingga sebati. Jika terlalu kering, tambahkan sedikit kuah sup ayam hutan yang sedang direnih. Tumis sehingga mendidih.
3. Masukkan bahan tumisan tadi ke dalam periuk slow cooker yang berisi sup ayam hutan.
4. Tutup periuk semula, dan biarkan lagi selama 2 jam.
5. Ketika ini ayam hutan sudah benar-benar empuk, begitu juga dengan lobak merah dan kentang.
6. Perasakan dengan garam  / perasa pilihan.
7. Hidangkan panas. Jika suka sediakan sambal kicap dan perahkan limau nipis atau limau kasturi ketika menikmati Sup Ayam Hutan Tumis Darat ini. Jangan lupa taburkan bawang goreng dan daun ketumbar.

Nampak macam lama sangat menunggu 7 jam untuk hirup kuah sup ayam hutan! Bukannya kita kena tunggu mengadap slow cooker selama itu! Buatlah kerja-kerja lain sambil menikmati aroma sup sementara menunggu ayam hutan empuk....hiks! Apa yang Amie suka bila guna slow cooker ni, air yang kita bubuh tak akan berkurang! Sebanyak mana kita masukkan ketika mula merenih, begitulah banyaknya kuah sup ketika ayam masak empuk untuk dihidangkan. Jadi tak perlu risau kuah menjadi kering.

 Selamat mencuba!
Tak ada ayam hutan, ayam kampung pun sedap!
Tak ada ayam kampung, ayam pencen pun boleh!
Tak makan ayam pencen, ayam daging pun okey!

Rabu, 19 Julai 2017

Resepi Amie's Little Kitchen Di Majalah SAJI Edisi Ogos 2017

Jom meriah-meriahkan lagi dunia masakan tanah air!
Kata Jean Anthelme Brillat-Savarin:
Tell me what you eat, and I will tell you who you are!
Terima kasih saudari Zanasham Salim dan krew  Majalah SAJI kerana sudi memaparkan resepi hasil air tangan Amie untuk keluaragn Ogos ini. Jangan lupa dapatkan majalah kesayangan ramai ini yang sudah tentunya baru keluar dari 'oven' dan hangat di pasaran!

Kali ini SAJI menghidangkan Menu Harian, dan antaranya termasuklah resepi dari Amie's Little Kichen seperti di bawah ini:













 Resepinya?
Jangan lupa dapatkan Majalah SAJI Edisi Ogos 2017 di pasaran. 



Selasa, 18 Julai 2017

Ayam Masak Ungkep lagi!

Dalam kepala....
Goreng telur dadar sajalah. Makan dengan nasi panas, dan tambahkan sambal udang kering yang masih berbaki. Kalau tak cukup lagi, tambahkan serunding ayam. Letih sungguh hari ini. Kejap lagi bolehlah rehatkan badan!
Tiba-tiba Firdaus muncul di pintu dapur.
Mommy masak apa?
Mommy masak nasi, sayang.
Mommy masak ayam macam semalam ya... ayam pedan (pedas - lidahnya masih pelat, tak boleh sebut huruf 's' dengan betul.
Adeeehhh.... tak boleh nak cakap apa bila dengar permintaan si kecil Firdaus!
Daun nak makan ayam pedan. (Daus nak makan ayam pedas), katanya lagi.
Oh! Kelmarin hampir 3 jam masak ayam hutan! Ada lagi seekor ayam hutan dalam peti sejuk, tapi tak larat dah nak masak lama-lama hari ini. Rupanya bukan Encik Suami dan Fairuz saja yang kata sedap, Firdaus pun masih teringat ayam hutan masak ungkep itu!
Untuk tidak menghampakan permintaan Firdaus, Amie pun masak ayam ungkep sekali lagi, tapi Amie gunakan ayam daging biasa.


Bahan-bahan:
1 kg daging ayam bahagian peha - jadikan 12 potongan
3 batang serai - dititik
2 helai daun bay - (gantikan daun salam yang habis)
1 sudu kecil pati asam jawa - bancuh dengan 1/2 cawan air
3 cawan air
garam dan gula melaka / perasa pilihan secukupnya
1/2 cawan minyak
 
Bahan tumbuk / kisar:
5 ulas bawang putih
10 biji bawang merah 
3 sudu besar ketumbar biji
1 sudu besar jintan manis
1 sudu besar jintan putih
4 biji buah keras
3 cm kunyit hidup
3 cm halia
20 biji cili padi

Cara:
1. Panaskan minyak. Tumis semua bahan kisar sehingga terbit minyak.
2. Masukkan bancuhan air pati asam jawa dan biarkan hingga mendidih. Kemudian masukkan  serai, daun bay dan daging ayam dan kemudian gaul rata hingga ayam kelihatan layu atau berubah warna.
3. Tambahkan air, garam, gula atau perasa pilihan.                                           
4. Tutup kuali rapat-rapat. Gunakan api sederhana panas.
5. Kacau sekali-sekala untuk memastikan daging ayam tidak hangus kekeringan.
6. Apabila kuah hampir kering (jika suka kuahnya, tak perlu masak sampai kering) dan ayam empuk, matikan api.
 
Alhamdulillah.... siap juga Ayam Masak Ungkep sebelum Firdaus tertidur! Dapatlah kita suapkan Firdaus nasi lauk ayam ungkep sepinggan penuh! Bukan Firdaus minta suap, tapi kita yang rasa rindu nak menyuap dia!

Isnin, 17 Julai 2017

Ayam Hutan Masak Ungkep

Bertemu kembali .
Alhamdulillah, dapur maya ini masih di hati, walaupun sudah agak lama tidak berkunjung ke sini.

Dah lama tak kongsi paparan, rasa kekok pula untuk memulakan mukadimah. Senangnye beginilah :
Amie kongsikan resepi Ayam Hutan Masak Ungkep. Sampai maksudnya kan? Nak tambah sedikit maklumat : Amie gunakan ayam hutan. Tak sempat timbang berapa gram, mungkin dalam 1 kg. Amie potong kepada 8 bahagian. Ayam hutan ni tersangatlah 'hutannya' dan sebab itulah Amie gunakan 2 liter air untuk 'mengungkepnya'! Kalau nak cepat empuk, gunakan saja pressure cooker. Habis cerita. Amie masak cara biasa, dengan api perlahan macam orang kampung selalu buat. Cili padi yang digunakan pula cli padi minyak, yang dah masak merah, sebab itu saja cili padi yang ada. Amie tambahkan dua helai daun bay, menggantikan daun salam.

Bahan-bahan:
1 ekor ayam hutan - bersihkan dan potong 8 bahagian kemudian  lumur dengan sedikit garam dan serbuk kunyit - perap seketika antara 25-30 minit
3 batang serai - dititik
2 helai daun bay (gantikan daun salam)
1 sudu kecil pati asam jawa - bancuh dengan 1/2 cawan air
2 liter air
garam dan gula / perasa pilihan secukupnya
1/2 cawan minyak
Bahan tumbuk / kisar:
5 ulas bawang putih
10 biji bawang merah 
3 sudu besar ketumbar biji
1 sudu besar jintan manis
1 sudu besar jintan putih
4 biji buah keras
3 cm kunyit hidup
3 cm halia
20 biji cili padi

Cara:
1. Panaskan minyak. Tumis semua bahan kisar sehingga terbit minyak.
2. Masukkan bancuhan air pati asam jawa dan biarkan hingga mendidih. Kemudian masukkan  serai, daun bay dan daging ayam dan kemudian gaul rata hingga ayam kelihatan layu atau berubah warna.
3. Tambahkan air, garam, gula atau perasa pilihan.                                           
4. Tutup kuali rapat-rapat. Gunakan api sederhana panas.
5. Kacau sekali-sekala untuk memastikan daging ayam tidak hangus kekeringan.
6. Apabila kuah hampir kering (jika suka kuahnya, tak perlu masak sampai kering) dan ayam empuk, matikan api.

Encik Suami kata Ayam Hutan Masak Ungkep  memang sangat sedap! Memang Amie pun tak nafikan! Hampir 3 jam memasaknya dengan penuh kesabaran. Maklumlah, isi ayam yang pejal, kemudian dimasak ala-ala renih gitu sampai empuk, bukankah meresap sebati semua rempahnya?

Oh! Ayam Hutan Masak Ungkep!

Khamis, 6 Julai 2017

Kuih Raya 2017

Bertemu kembali.
Hampir sebulan tak berkunjung ke dapur maya, rasa kekok pula!
Ramadhan telah berlalu, tapi tak banyak kongsi resepi. Kononnya 'sakit hati' sebab beratus entri kena 'copet' dan dijadikan entri blogger lain! Kalau diingat kembali, rasa sakit hati tak akan surut! Jadi, kononnya nak berehatlah seketika. Bila berehat seminggu dua, bertimbunlah pula gambar resepi dalam kamera. Timbul semangat nak buat entri, malangnya komputer pula rosak!
Alhamdulillah, Encik Suami rajin pula bawa ke kedai dan semang untuk berblogging datang semula.
Sayangnya.... walaupun ada gambar yang hendak dikongsi, tapi resepi entah ke mana!
Apa pun, rasanya belum terlambat untuk paparkan kuih raya...hiks!
Nanti kalau rajin, Amie kongsikan pula resepinya.
Kepada yang berkunjung ke dapur Amie, diucapkan Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin.