ADSENSE

Khamis, 1 Jun 2017

Popia Mini Sira Pedas

Pertama kali makan Popia Mini Sira Pedas, Amie terus jatuh cinta. Apa tidaknya, habis sebalang kecil Amie kunyah tanpa henti! Itu cerita lama! Cerita di suatu hari pada hari raya di kampung laman. Bila dah habis, baru Amie tanya Bonda, dari mana dapat popia pedas yang sangat sedap tu? Bonda kata kakak (kakak Amie) bagi. Amie tanya, ada lagi tak? Bonda jawab: Kakak bagi sebalang. Alamak! Sebalang itulah yang Amie makan sampai habis!
Habis!
Yang tinggal hanya sisa-sisa minyak di pinggir bibir, dan rasa pedas-pedas enak. 
Cerita tidak berakhir di situ!
Amie cuba buat sendiri. 
Biasa makan kerepek ubi sira pedaskan?
Biasa juga tolong arwah MIL buat ubi sira pedas. Jadi, tak ada masalah untuk buat popia sira pedas. Cuma, popia sira pedas yang Amie makan itu, ada rasa-rasa udang kering! 

Jadi, petang tadi sementara 'mood'menggulung masih bersisa, maka menggulunglah lagi sepaket besar kulit popia. Kalau kelmarin Popia Nestum Horlicks yang agak manis, hari ini kita buat popia sira pedas pulak.
Bahan-bahan:
1 paket besar kulit popia
1 biji telur - pukul ringan
1 sudu kecil pati asam jawa
garam dan gula secukup rasa
minyak

Bahan kisar
10 biji cili kering
2 sudu besar udang kering
3 ulas bawang putih
3 biji bawang merah
3 biji buah keras

Jom lihat cara membuat popia mini seperti di bawah ini. Jangan lupa sediakan copstiks dan gunting. Tutorial menggulung kulit popia boleh lihat di sini: POPIA NESTUM HORLICKS.


Cara:
1. Gulung kulit popia menggunakan copstik (kalau nak ukuran sama - tak guna copstik pun tak apa - gulung saja begitu).
2. Tinggalkan lebih kurang 1/2 cm di bahagian hujungnya dan sapu dengan telur, dan kemudian kemaskan gulungan tadi hingga melekat.
3. Setelah selesai, gunting gulungan kulit popia mengikut saiz yang disukai.

 4. Panaskan minyak yang banyak dan kemudian goreng kulit popia dengan menggunakan api sedernaha panas. 
 5. Balik-balikkan kulit popia supaya masak sekata, dan biarkan masak sehingga minyak tidak berbuih dan kulit popia berwarna kuning keemasan.

  6. Angkat dan toskan minyaknya.

7. Sementara menggoreng popia mini, Amie masak sambal tumis. Panaskan 1/3 cawan minyak dan tumis bahan kisar, tambahkan pati asam jawa, garam dan gula secukup rasa. Tumis sehingga terbit minyak dan sambal kelihatan pekat dan likat. Kemudian padamkan api dapur dan biarkan sambal lebih kurang 5 minit, agar sejuk sedikit.

8. Kemudian ambil popia mini yang sudah ditoskan minyaknya tadi dan masukkan ke dalam kuali (sambal). 

 9. Gaul rata supaya popia minit tersalut dengan sambal.

Taraaa.... dah siap! Amie suka sangat popia mini bersira pedas begini, ada sambal melekat-lekat! Jadi, terpulanglah nak buat yang nampak sambal melekat, atau rasa pedas tanpa kelihatan sambal ha ha haa!

Kalau suka, boleh taburkan bijan yang disangan terlebih dahulu. Kalau tak bubuh pun, ok saja.

Jangan lupa, simpan dalam bekas kedap udara kalau Popia Mini Sira Pedas dah sejuk ye. Pssstttt! Jangan tanya Amie, berapa lama Popia Mini Sira Pedas tahan lama, atau tak lemau! Amie tak tahu...sebab, walaupun banyak kali buat Popia Mini Sira Pedas, jangka hayatnya hanya boleh bertahan selama 2 hari atau lebih sedikit, tiga hari! Bukan sebab selepas 2 hari jadi lemau, atau tutup tak kedap udara tapi sebab asyik masuk mulut saja!

1 ulasan:

cikkyra blogspot berkata...

Wah nampak sedapp