ADSENSE

Khamis, 8 Jun 2017

Murtabak Kulit Popia

Antara juadah berbuka puasa yang menjadi pilihan ketika membeli di pasar Ramadhan, salah satunya sudah tentulah murtabak! Kami sekeluarga pun 'hantu' muratabak! Apa kata kita cuba buat sendiri, boleh pilih bahan yang kita suka dan boleh pula kita nikmati sepuasnya!

Mula-mula, jangan lupa buat bawang jeruk. Mudah saja, kupas sebiji atau dua biji bawang besar. Kemudian hiris-hiris dan bubuh cuka serta gula. Biarkan semalaman. Maknanya kalau nak makan murtabak waktu berbuka puasa, eloklah buat bawang jeruk ketika masak sahur...hiks!
Sebenarnya, banyak resepi murtabak yang menggunakan kulit popia. Kalau rajin, bolehlah tanya-tanya pak google. Amie pun sebenarnya sudah beberapa kali membuatnya, pelbagai inti Amie cuba. Semuanya sedap belaka. Cuma, tak terfikir pula untuk kongsikan di sini sebab Amie rasa ramai yang dah tahu cara penyediaannya.  Apa pun, petang ini, sementara menanti waktu berbuka puasa, Amie ambil kesempatan untuk paparkan resepinya. Murtabak Kulit Popia ini Amie buat kelmarin!

Bahan-bahan:
Kulit popia saiz besar secukupnya - Amie dapat 11 keping mutabak
minyak

Bahan inti:
1 paket daging atau ayam kisar seberat 500 gram
3 sudu besar rempah kari daging
5 biji telur
2 labu bawang besar - hiris halus / nipis / cincang
7 tangkai daun ketumbar - hiris
3 ulas bawang putih - cincang
5 biji bawang merah - cincang
garam / gula  / perasa pilihan secukupnya

Cara:
1. Panaskan sedikit minyak dan goreng bawang putih serta bawang merah hingga kekuningan.
2. Perlahankan api dapur, dan tambahkan serbuk rempah kari. Jika terlalu kering, tambahkan sedikit air.
3. Masukkan daging atau ayam kisar.
4. Masak sehingga daging kering, dan perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan.
5. Biarkan daging kisar sejuk.
6. Dalam sebuah bekas, pukul telur dan masukkan bawang besar serta daun ketumbar. Kemudian masukkan daging kisar. Gaul rata.
7. Panaskan kuali leper dan sapukan sedikit minyak.
8. Ambil sekepng kulit popia dan sudukan inti secukupnya.
9. Lipat kiri dan kanan kulit popia, dan kemaskan menjadi bentuk segi empat.
10. Letakkan di atas kuali dan balik-balikkan kedua belah murtabak supaya masak sekata.
11. Apabila murtabak kelihatan kuning keemasan, angkat.

Alhamdulillah!
kalau di Sabah, selain jeruk bawang dan timun, peniaga murtabak sediakan sambal kicap! Walllaaa.... enak banget!

Ahad, 4 Jun 2017

Yong Tau Foo & Kuah Sedap!

Bila cerita tentang Yong Tau Foo, hanya mampu telan air liur! Bukan apa, kalau di tempat sendiri tentulah boleh beli di pasar malam atau bazar Ramadhan, tapi di sini tak tahu pula di mana nak cari. Nak singgah di pasar Ramadhan, takut tak sampai rumah pula (kesesakan lalu lintas) dan belum tentu ada peniaga yong tau foo! Seingat Amie, yong tau foo yang pernah Amie makan di sini, Amie beli di pasar tani. Kebetulan pula petang tadi keluar membeli-belah dengan Encik Suami. Agak lewat pula sampai ke rumah. Rasanya tak sempat nak masak-masak.
Kebetulan kami beli beberapa jenis frozen seafood. Kata Encik suami, sediakan sajalah apa-apa yang ada untuk berbuka puasa. Jadi, dalam perjalanan pulang, Amie sempat intai Pak Google, minta resepi kuah yong tau foo sebab dan ingat-ingat lupa. Maklumlah agak lama juga tak buat kuah yong tau foo. Sebelum ini Amie pernah buat kuah yong tau foo DI SINI dan DI SINI.
Kali ini Amie cuba buat kuah yong tau foo dari RASA oleh EMY HAZNIDA.

Walaupun ketika azan Maghrib baru siap, tapi sangat berpuas hati sebab kuah yong tau foo memang sedap! Encik Suami makan 2 pinggan! Ada dua jenis kuah yang Amie sediakan berdasarkan resepi tersebut, iaitu Kuah Hitam dan Kuah Merah.

Bahan-bahan untuk Kuah Hitam:
2 sudu besar taucu
2 sudu besar tepung jagung
2 sudu besar tepung gandum
2 sudu besar kicap pekat
3 sudu besar sos tiram
4 sudu besar gula
3 cawan air

Cara:
1. Campurkan semua bahan dan kisar hingga halus.
2. Masak di atas api sehingga mendidih - Amie masak hampir pekat.

Bahan-bahan untuk Kuah Merah:
1/2 cawan kacang tanah - goreng
1 sudu besar tepung gandum
1 sudu besar tepung jagung
4 sudu besar gula
3 cawan air
1/2 sudu kecil garam - Amie gantikan dengan perencah cukup rasa

Bahan lain :
2 ulas bawang putih - cincang
3 sudu besar cili kisar
3 sudu besar minyak

Cara:
1. Panaskan minyak dan tumis bawang putih bersama cili kisar.
2. Setelah terbit minyak, masukkan semua bahan kisar.
3. Masak sehingga kuah mendidih dan menjadi sedikit pekat.

Apa yang penting ialah penyediaan kuahnya! Bahan yang kita nak makan mudah untuk disediakan kerana kebanyakannya sudah sedia ada dan hanya dicelur sahaja. Terpulanglah nak pilih, ikut kegemaran masing-masing. Selain frozen seafood seperti bebola udang, sotong, ketam, fish cake dan sebagainya, Amie tambahkan sayur kangkung, lobak merah (telur rebus - konon nak gantikan telur puyuh...hiks)!
Jangan lupa taburkan kacang tanah tumbuk dan bijan sangan ketika menghidangkannya.

Tak dapat Amie lupakan : Kalau beli yong tau foo di pasar tani, disertakan sekali sambal dan limau kasturi! Walaaaa....

Khamis, 1 Jun 2017

Popia Mini Sira Pedas

Pertama kali makan Popia Mini Sira Pedas, Amie terus jatuh cinta. Apa tidaknya, habis sebalang kecil Amie kunyah tanpa henti! Itu cerita lama! Cerita di suatu hari pada hari raya di kampung laman. Bila dah habis, baru Amie tanya Bonda, dari mana dapat popia pedas yang sangat sedap tu? Bonda kata kakak (kakak Amie) bagi. Amie tanya, ada lagi tak? Bonda jawab: Kakak bagi sebalang. Alamak! Sebalang itulah yang Amie makan sampai habis!
Habis!
Yang tinggal hanya sisa-sisa minyak di pinggir bibir, dan rasa pedas-pedas enak. 
Cerita tidak berakhir di situ!
Amie cuba buat sendiri. 
Biasa makan kerepek ubi sira pedaskan?
Biasa juga tolong arwah MIL buat ubi sira pedas. Jadi, tak ada masalah untuk buat popia sira pedas. Cuma, popia sira pedas yang Amie makan itu, ada rasa-rasa udang kering! 

Jadi, petang tadi sementara 'mood'menggulung masih bersisa, maka menggulunglah lagi sepaket besar kulit popia. Kalau kelmarin Popia Nestum Horlicks yang agak manis, hari ini kita buat popia sira pedas pulak.
Bahan-bahan:
1 paket besar kulit popia
1 biji telur - pukul ringan
1 sudu kecil pati asam jawa
garam dan gula secukup rasa
minyak

Bahan kisar
10 biji cili kering
2 sudu besar udang kering
3 ulas bawang putih
3 biji bawang merah
3 biji buah keras

Jom lihat cara membuat popia mini seperti di bawah ini. Jangan lupa sediakan copstiks dan gunting. Tutorial menggulung kulit popia boleh lihat di sini: POPIA NESTUM HORLICKS.


Cara:
1. Gulung kulit popia menggunakan copstik (kalau nak ukuran sama - tak guna copstik pun tak apa - gulung saja begitu).
2. Tinggalkan lebih kurang 1/2 cm di bahagian hujungnya dan sapu dengan telur, dan kemudian kemaskan gulungan tadi hingga melekat.
3. Setelah selesai, gunting gulungan kulit popia mengikut saiz yang disukai.

 4. Panaskan minyak yang banyak dan kemudian goreng kulit popia dengan menggunakan api sedernaha panas. 
 5. Balik-balikkan kulit popia supaya masak sekata, dan biarkan masak sehingga minyak tidak berbuih dan kulit popia berwarna kuning keemasan.

  6. Angkat dan toskan minyaknya.

7. Sementara menggoreng popia mini, Amie masak sambal tumis. Panaskan 1/3 cawan minyak dan tumis bahan kisar, tambahkan pati asam jawa, garam dan gula secukup rasa. Tumis sehingga terbit minyak dan sambal kelihatan pekat dan likat. Kemudian padamkan api dapur dan biarkan sambal lebih kurang 5 minit, agar sejuk sedikit.

8. Kemudian ambil popia mini yang sudah ditoskan minyaknya tadi dan masukkan ke dalam kuali (sambal). 

 9. Gaul rata supaya popia minit tersalut dengan sambal.

Taraaa.... dah siap! Amie suka sangat popia mini bersira pedas begini, ada sambal melekat-lekat! Jadi, terpulanglah nak buat yang nampak sambal melekat, atau rasa pedas tanpa kelihatan sambal ha ha haa!

Kalau suka, boleh taburkan bijan yang disangan terlebih dahulu. Kalau tak bubuh pun, ok saja.

Jangan lupa, simpan dalam bekas kedap udara kalau Popia Mini Sira Pedas dah sejuk ye. Pssstttt! Jangan tanya Amie, berapa lama Popia Mini Sira Pedas tahan lama, atau tak lemau! Amie tak tahu...sebab, walaupun banyak kali buat Popia Mini Sira Pedas, jangka hayatnya hanya boleh bertahan selama 2 hari atau lebih sedikit, tiga hari! Bukan sebab selepas 2 hari jadi lemau, atau tutup tak kedap udara tapi sebab asyik masuk mulut saja!

Ayam Panggang Rosemary

Agak lama juga Amie tak buat Ayam Panggang Rosemary. Tanam pokok rosemary pun asyik mati saja ha ha haaaa! Jadi gunakan rosemary kering sajalah.


Bahan-bahan:
1 ekor ayam seberat 1.5 kg
1 biji lemon - perah jusnya
4 biji kentang - kupas dan belah 2
1 batang lobak - buang kulit dan potong bulat
2 batang jagung - kupas kulit dan potong 3
1 biji bawang Holland - kupas kulit dan belah 2
2 biji tomato - belah 2
5 hirisan lemon
2 sudu besar gula perang
1 sudu kecil garam
2 sudu besar stok ayam pekat
7 ulas bawang putih
3 sudu besar minyak zaitun
2 sudu besar mentega

Bahan tumbuk / kisar:
3 cm halia
1 sudu besar rosemary kering
1 sudu besar lada hitam
1 sudu kecil jintan manis
1 sudu kecil jintan putih

Cara:
1. Lumurkan ayam dengan perahan jus lemon sehingga rata.
2. Goreng bawang putih hingga kekuningan menggunakan minyak zaitun. Kemudian tumbuk bawang putih hingga lumat.
3. Gaulkan bawang putih tumbuk bersama minyak zaitun dan kesemua bahan tumbuk / kisar. Tambahkan gula perang, garam dan stok ayam pekat.
4. Kemudian lumurkan pada ayam dan perap di dalam peti sejuk selama 4 jam.
5. Rebus kentang, jagung dan lobak merah sehingga 3/4 masak. Angkat dan lumurkan dengan lebihan rempah perapan ayam.
6. Susun ayam, kentang, lobak merah, jagung, tomato, bawang Holland dan hirisan lemon di dalam tray pembakar.
7. Sapukan mentega pada ayam dan sayur-sayuran.
8. Baar dalam oven di antara 180-200'C selama 1 jam.

Jika suka, sediakan sos lada hitam sebagai pencecah ayam panggang. 
Bahan-bahan:
1 labu bawang besar - cincang
2 sudu besar mentega
1 sudu besar tepung gandum
4 sudu besar sos lada hitam
1 sudu kecil lada hitam - tumbuk
1 sudu kecil kicap pekat
1 cawan susu segar
1 sudu kecil stok ayam pekat

Cara:
1. Cairkan mentega.
2. Goreng bawang besar hingga kekuningan.
3. Masukkan tepung gandum dan gaul rata.
4. Tambahkan lada hitam tumbuk dan sos lada hitam, kicap pekat serta stok ayam pekat.
5. Akhir sekali masukkan susu segar.
6. Gaul rata dan padamkan api dapur apabila sos lada hitam mula mendidih.

 Selamat menjalani ibadat puasa!