ADSENSE

Khamis, 8 Jun 2017

Murtabak Kulit Popia

Antara juadah berbuka puasa yang menjadi pilihan ketika membeli di pasar Ramadhan, salah satunya sudah tentulah murtabak! Kami sekeluarga pun 'hantu' muratabak! Apa kata kita cuba buat sendiri, boleh pilih bahan yang kita suka dan boleh pula kita nikmati sepuasnya!

Mula-mula, jangan lupa buat bawang jeruk. Mudah saja, kupas sebiji atau dua biji bawang besar. Kemudian hiris-hiris dan bubuh cuka serta gula. Biarkan semalaman. Maknanya kalau nak makan murtabak waktu berbuka puasa, eloklah buat bawang jeruk ketika masak sahur...hiks!
Sebenarnya, banyak resepi murtabak yang menggunakan kulit popia. Kalau rajin, bolehlah tanya-tanya pak google. Amie pun sebenarnya sudah beberapa kali membuatnya, pelbagai inti Amie cuba. Semuanya sedap belaka. Cuma, tak terfikir pula untuk kongsikan di sini sebab Amie rasa ramai yang dah tahu cara penyediaannya.  Apa pun, petang ini, sementara menanti waktu berbuka puasa, Amie ambil kesempatan untuk paparkan resepinya. Murtabak Kulit Popia ini Amie buat kelmarin!

Bahan-bahan:
Kulit popia saiz besar secukupnya - Amie dapat 11 keping mutabak
minyak

Bahan inti:
1 paket daging atau ayam kisar seberat 500 gram
3 sudu besar rempah kari daging
5 biji telur
2 labu bawang besar - hiris halus / nipis / cincang
7 tangkai daun ketumbar - hiris
3 ulas bawang putih - cincang
5 biji bawang merah - cincang
garam / gula  / perasa pilihan secukupnya

Cara:
1. Panaskan sedikit minyak dan goreng bawang putih serta bawang merah hingga kekuningan.
2. Perlahankan api dapur, dan tambahkan serbuk rempah kari. Jika terlalu kering, tambahkan sedikit air.
3. Masukkan daging atau ayam kisar.
4. Masak sehingga daging kering, dan perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan.
5. Biarkan daging kisar sejuk.
6. Dalam sebuah bekas, pukul telur dan masukkan bawang besar serta daun ketumbar. Kemudian masukkan daging kisar. Gaul rata.
7. Panaskan kuali leper dan sapukan sedikit minyak.
8. Ambil sekepng kulit popia dan sudukan inti secukupnya.
9. Lipat kiri dan kanan kulit popia, dan kemaskan menjadi bentuk segi empat.
10. Letakkan di atas kuali dan balik-balikkan kedua belah murtabak supaya masak sekata.
11. Apabila murtabak kelihatan kuning keemasan, angkat.

Alhamdulillah!
kalau di Sabah, selain jeruk bawang dan timun, peniaga murtabak sediakan sambal kicap! Walllaaa.... enak banget!

Ahad, 4 Jun 2017

Yong Tau Foo & Kuah Sedap!

Bila cerita tentang Yong Tau Foo, hanya mampu telan air liur! Bukan apa, kalau di tempat sendiri tentulah boleh beli di pasar malam atau bazar Ramadhan, tapi di sini tak tahu pula di mana nak cari. Nak singgah di pasar Ramadhan, takut tak sampai rumah pula (kesesakan lalu lintas) dan belum tentu ada peniaga yong tau foo! Seingat Amie, yong tau foo yang pernah Amie makan di sini, Amie beli di pasar tani. Kebetulan pula petang tadi keluar membeli-belah dengan Encik Suami. Agak lewat pula sampai ke rumah. Rasanya tak sempat nak masak-masak.
Kebetulan kami beli beberapa jenis frozen seafood. Kata Encik suami, sediakan sajalah apa-apa yang ada untuk berbuka puasa. Jadi, dalam perjalanan pulang, Amie sempat intai Pak Google, minta resepi kuah yong tau foo sebab dan ingat-ingat lupa. Maklumlah agak lama juga tak buat kuah yong tau foo. Sebelum ini Amie pernah buat kuah yong tau foo DI SINI dan DI SINI.
Kali ini Amie cuba buat kuah yong tau foo dari RASA oleh EMY HAZNIDA.

Walaupun ketika azan Maghrib baru siap, tapi sangat berpuas hati sebab kuah yong tau foo memang sedap! Encik Suami makan 2 pinggan! Ada dua jenis kuah yang Amie sediakan berdasarkan resepi tersebut, iaitu Kuah Hitam dan Kuah Merah.

Bahan-bahan untuk Kuah Hitam:
2 sudu besar taucu
2 sudu besar tepung jagung
2 sudu besar tepung gandum
2 sudu besar kicap pekat
3 sudu besar sos tiram
4 sudu besar gula
3 cawan air

Cara:
1. Campurkan semua bahan dan kisar hingga halus.
2. Masak di atas api sehingga mendidih - Amie masak hampir pekat.

Bahan-bahan untuk Kuah Merah:
1/2 cawan kacang tanah - goreng
1 sudu besar tepung gandum
1 sudu besar tepung jagung
4 sudu besar gula
3 cawan air
1/2 sudu kecil garam - Amie gantikan dengan perencah cukup rasa

Bahan lain :
2 ulas bawang putih - cincang
3 sudu besar cili kisar
3 sudu besar minyak

Cara:
1. Panaskan minyak dan tumis bawang putih bersama cili kisar.
2. Setelah terbit minyak, masukkan semua bahan kisar.
3. Masak sehingga kuah mendidih dan menjadi sedikit pekat.

Apa yang penting ialah penyediaan kuahnya! Bahan yang kita nak makan mudah untuk disediakan kerana kebanyakannya sudah sedia ada dan hanya dicelur sahaja. Terpulanglah nak pilih, ikut kegemaran masing-masing. Selain frozen seafood seperti bebola udang, sotong, ketam, fish cake dan sebagainya, Amie tambahkan sayur kangkung, lobak merah (telur rebus - konon nak gantikan telur puyuh...hiks)!
Jangan lupa taburkan kacang tanah tumbuk dan bijan sangan ketika menghidangkannya.

Tak dapat Amie lupakan : Kalau beli yong tau foo di pasar tani, disertakan sekali sambal dan limau kasturi! Walaaaa....

Khamis, 1 Jun 2017

Popia Mini Sira Pedas

Pertama kali makan Popia Mini Sira Pedas, Amie terus jatuh cinta. Apa tidaknya, habis sebalang kecil Amie kunyah tanpa henti! Itu cerita lama! Cerita di suatu hari pada hari raya di kampung laman. Bila dah habis, baru Amie tanya Bonda, dari mana dapat popia pedas yang sangat sedap tu? Bonda kata kakak (kakak Amie) bagi. Amie tanya, ada lagi tak? Bonda jawab: Kakak bagi sebalang. Alamak! Sebalang itulah yang Amie makan sampai habis!
Habis!
Yang tinggal hanya sisa-sisa minyak di pinggir bibir, dan rasa pedas-pedas enak. 
Cerita tidak berakhir di situ!
Amie cuba buat sendiri. 
Biasa makan kerepek ubi sira pedaskan?
Biasa juga tolong arwah MIL buat ubi sira pedas. Jadi, tak ada masalah untuk buat popia sira pedas. Cuma, popia sira pedas yang Amie makan itu, ada rasa-rasa udang kering! 

Jadi, petang tadi sementara 'mood'menggulung masih bersisa, maka menggulunglah lagi sepaket besar kulit popia. Kalau kelmarin Popia Nestum Horlicks yang agak manis, hari ini kita buat popia sira pedas pulak.
Bahan-bahan:
1 paket besar kulit popia
1 biji telur - pukul ringan
1 sudu kecil pati asam jawa
garam dan gula secukup rasa
minyak

Bahan kisar
10 biji cili kering
2 sudu besar udang kering
3 ulas bawang putih
3 biji bawang merah
3 biji buah keras

Jom lihat cara membuat popia mini seperti di bawah ini. Jangan lupa sediakan copstiks dan gunting. Tutorial menggulung kulit popia boleh lihat di sini: POPIA NESTUM HORLICKS.


Cara:
1. Gulung kulit popia menggunakan copstik (kalau nak ukuran sama - tak guna copstik pun tak apa - gulung saja begitu).
2. Tinggalkan lebih kurang 1/2 cm di bahagian hujungnya dan sapu dengan telur, dan kemudian kemaskan gulungan tadi hingga melekat.
3. Setelah selesai, gunting gulungan kulit popia mengikut saiz yang disukai.

 4. Panaskan minyak yang banyak dan kemudian goreng kulit popia dengan menggunakan api sedernaha panas. 
 5. Balik-balikkan kulit popia supaya masak sekata, dan biarkan masak sehingga minyak tidak berbuih dan kulit popia berwarna kuning keemasan.

  6. Angkat dan toskan minyaknya.

7. Sementara menggoreng popia mini, Amie masak sambal tumis. Panaskan 1/3 cawan minyak dan tumis bahan kisar, tambahkan pati asam jawa, garam dan gula secukup rasa. Tumis sehingga terbit minyak dan sambal kelihatan pekat dan likat. Kemudian padamkan api dapur dan biarkan sambal lebih kurang 5 minit, agar sejuk sedikit.

8. Kemudian ambil popia mini yang sudah ditoskan minyaknya tadi dan masukkan ke dalam kuali (sambal). 

 9. Gaul rata supaya popia minit tersalut dengan sambal.

Taraaa.... dah siap! Amie suka sangat popia mini bersira pedas begini, ada sambal melekat-lekat! Jadi, terpulanglah nak buat yang nampak sambal melekat, atau rasa pedas tanpa kelihatan sambal ha ha haa!

Kalau suka, boleh taburkan bijan yang disangan terlebih dahulu. Kalau tak bubuh pun, ok saja.

Jangan lupa, simpan dalam bekas kedap udara kalau Popia Mini Sira Pedas dah sejuk ye. Pssstttt! Jangan tanya Amie, berapa lama Popia Mini Sira Pedas tahan lama, atau tak lemau! Amie tak tahu...sebab, walaupun banyak kali buat Popia Mini Sira Pedas, jangka hayatnya hanya boleh bertahan selama 2 hari atau lebih sedikit, tiga hari! Bukan sebab selepas 2 hari jadi lemau, atau tutup tak kedap udara tapi sebab asyik masuk mulut saja!

Ayam Panggang Rosemary

Agak lama juga Amie tak buat Ayam Panggang Rosemary. Tanam pokok rosemary pun asyik mati saja ha ha haaaa! Jadi gunakan rosemary kering sajalah.


Bahan-bahan:
1 ekor ayam seberat 1.5 kg
1 biji lemon - perah jusnya
4 biji kentang - kupas dan belah 2
1 batang lobak - buang kulit dan potong bulat
2 batang jagung - kupas kulit dan potong 3
1 biji bawang Holland - kupas kulit dan belah 2
2 biji tomato - belah 2
5 hirisan lemon
2 sudu besar gula perang
1 sudu kecil garam
2 sudu besar stok ayam pekat
7 ulas bawang putih
3 sudu besar minyak zaitun
2 sudu besar mentega

Bahan tumbuk / kisar:
3 cm halia
1 sudu besar rosemary kering
1 sudu besar lada hitam
1 sudu kecil jintan manis
1 sudu kecil jintan putih

Cara:
1. Lumurkan ayam dengan perahan jus lemon sehingga rata.
2. Goreng bawang putih hingga kekuningan menggunakan minyak zaitun. Kemudian tumbuk bawang putih hingga lumat.
3. Gaulkan bawang putih tumbuk bersama minyak zaitun dan kesemua bahan tumbuk / kisar. Tambahkan gula perang, garam dan stok ayam pekat.
4. Kemudian lumurkan pada ayam dan perap di dalam peti sejuk selama 4 jam.
5. Rebus kentang, jagung dan lobak merah sehingga 3/4 masak. Angkat dan lumurkan dengan lebihan rempah perapan ayam.
6. Susun ayam, kentang, lobak merah, jagung, tomato, bawang Holland dan hirisan lemon di dalam tray pembakar.
7. Sapukan mentega pada ayam dan sayur-sayuran.
8. Baar dalam oven di antara 180-200'C selama 1 jam.

Jika suka, sediakan sos lada hitam sebagai pencecah ayam panggang. 
Bahan-bahan:
1 labu bawang besar - cincang
2 sudu besar mentega
1 sudu besar tepung gandum
4 sudu besar sos lada hitam
1 sudu kecil lada hitam - tumbuk
1 sudu kecil kicap pekat
1 cawan susu segar
1 sudu kecil stok ayam pekat

Cara:
1. Cairkan mentega.
2. Goreng bawang besar hingga kekuningan.
3. Masukkan tepung gandum dan gaul rata.
4. Tambahkan lada hitam tumbuk dan sos lada hitam, kicap pekat serta stok ayam pekat.
5. Akhir sekali masukkan susu segar.
6. Gaul rata dan padamkan api dapur apabila sos lada hitam mula mendidih.

 Selamat menjalani ibadat puasa!

Rabu, 31 Mei 2017

Popia Nestum Horlicks

Jom buat popia salut dengan serbuk nestum dan horlicks. Sedap sungguh untuk kudap-kudapan nih! Teringat semasa tinggal di rumah sewa 15 tahun lalu, setiap kali hari raya, jiran depan rumah mesti hulur sebalang popia salut nestum! Bila dah pindah ke rumah sendiri, Amie sangka tak dapat merasa lagi kudapan enak tu. Rezeki Allah nak bagi, anak-anak jiran bersekolah di sekolah yang sama dengan Amie. Jadi, hubungan tak terputus! Dikirim juga sebalang popia salut nestum setiap kali menjelang raya! Dan berakhir pada tahun 2015, sebab anak jiran yang paling bongsu menyambung pengajian ke Labuan.
Kononnya petang tadi merajinkan diri menggulung kulit popia, tapi setakat sebungkus sahaja! Malas nak gulung banyak-banyak...hiks!

 Akhirnya siap juga Popia Nestum Horlicks!

Bukannya susah sangat nak buatnya pun. Terpulang pada diri, nak buat atau sebaliknya. Itu saja. Paling seronok tentulah kalau ada teman berbual sambil menggulung kulit popia...hiks! Bahan yang digunakan pun tak banyak. Sambil tengok televisyen pun boleh gulung kulit popia. 

Bahan-bahan:
1 paket kulit popia saiz besar
1 cawan horlicks
2 cawan nestum - kisar halus - hasilnya dapat 1 cawan serbuk nestum
1/2 cawan susu tepung
1/2 cawan gula pasir - kisar halus
1 biji telur - pukul ringan
minyak untuk menggoreng

Bahan lain : copstik dan gunting

Cara:
1. Gulung kulit popia menggunakan copstik (kalau nak ukuran sama - tak guna copstik pun tak apa - gulung saja begitu).
2. Tinggalkan lebih kurang 1/2 cm di bahagian hujungnya dan sapu dengan telur, dan kemudian kemaskan gulungan tadi hingga melekat.
3. Setelah selesai, gunting gulungan kulit popia mengikut saiz yang disukai.

 Inilah hasil kulit popia yang digunting.

 4. Panaskan minyak yang banyak dan kemudian goreng kulit popia dengan menggunakan api sedernaha panas.

5. Balik-balikkan kulit popia supaya masak sekata, dan biarkan masak sehingga minyak tidak berbuih dan kulit popia berwarna kuning keemasan.

 6. Angkat dan toskan minyaknya.

 7. Sementara itu, campurkan serbuk horlicks, serbuk gula pasir, dan susu tepung.


8. Jangan lupa masukkan serbuk nestum ye...kemudian gaul rata.

 9. Gaulkan serbuk tadi bersama kulit popia yang sudah ditoskan minyaknya.
 10. Biarkan seketika, sebab kulit popia tadi masih suam-suam, dan apabila sudah sejuk bolehlah simpan di dalam bekas kedap udara.


Popia Nestum Horlicks ini dah habis sebalang! Waktu berbuka puasa tadi, anak-anak dan Encik Suami sempat makan sebelum ke masjid untuk solat terawih!

Selasa, 30 Mei 2017

Gado-Gado

Hari ini Encik Suami cuti sempena Pesta Kaamatan. Esok pun cuti lagi. Yuhuuuu! Amie pun ada teman untuk bersembang di rumah sepanjang dua hari ini. Masa pun banyak terluang sebab Encik Suami bantu bersihkan rumah. Kami sempat keluar berbelanja ke pasaraya dan juga pasar basah. Alhamdulillah, hasrat hati nak buat gado-gado untuk juadah berbuka tertunai juga.
Gado-gado sangat terkenal di Lahad Datu, (umum mengetahui asal Gado-Gado dari negara jiran, Indonesia) begitu juga di Tawau dan daerah lain di Sabah. Pada mulanya Amie sangka pecal, rupa-rupanya bukan! Ada beza pecal dengan gado-gado! Pecal yang biasa kita makan, kuahnya tak perlu dimasak. Hanya dibancuh dengan air panas dan sudah semestinya ada aroma kencur atau cekur! Gado-gado pula, kuahnya perlu dimasak terlebih dahulu dan kacang tanah yang digunakan lebih halus berbanding kacang tanah yang digunakan dalam kuah pecal!
Boleh dikatakan Gado-Gado juga merupakan salah satu makanan kegemaran Encik Suami dan anak-anak. Selalunya ketika bulan puasa Encik Suami akan beli di pasar Ramadhan, tapi kali ini tidak pula. Agaknya malas nak bersesak-sesak di jalan raya.
Jom, kita lihat paparan resepi Gado-Gado di bawah ini. Untuk kuahnya, Amie tambahkan sedikit lada untuk 'merasa' kepedasannya sedikit. Selalunya kuah Gado-Gado terasa manisnya! Inilah yang seronoknya, kalau masak sendiri kita boleh olah ikut citarasa.

Bahan-bahan kuah:
2 cawan kacang tanah - goreng dan buang kulit - kemudian kisar sehingga 'hampir' halus
1 sudu besar pati asam jawa
3 helai daun limau purut
1 batang serai - dititik
5 cawan air
1 cawan santan pekat
garam dan gula melaka secukup rasa
1/3 cawan minyak

Bahan kisar:
10 biji cili kering
1/2 cawan udang kering - rendam hingga lembut - toskan airnya
1 labu bawang besar
5 biji bawang merah
3 ulas bawang putih

Cara:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar, daun limau purut dan serai dengan api sederhana sehingga pecah minyak.
2. Tuangkan air dan kacau sekali-sekala sehingga mendidih.
3. Kemudian masukkan kacang tanah. 
4. Tambahkan gula melaka, dan pati asam jawa.
5. Tuangkan santan dan masak sehingga kuah menjadi pekat.
6. Taburkan garam secukupnya.
7. Kacau sekali lagi dan padamkan api dapur.

Sebaiknya kuah Gado-Gado disediakan beberapa jam lebih awal supaya rasanya mesra dan sebati sebagaimana kuah sate atau sambal nasi lemak!

Biasanya gado-gado dihidangkan bersama pelbaga jenis sayuran yang dicelur, dan kuah dituang panas ke atasnya. Terpulanglah dengan citarasa masing-masing untuk sediakan bahan sayuran. Walaupun kuantitinya sedikit tetapi bila disatukan, banyaklah pula jadinya! Jangan lupa hidangkan bersama keropok goreng!
Antara bahan untuk gado-gado yang Amie gunakan termasuklah :
kacang panjang
taugeh
lobak merah
timun
telur rebus
kangkung
nasi himpit / ketupat / lontong
kentang rebus
tauhu
keropok

Ini pula gado-gado yang biasa disediakan oleh keluarga sebelah Encik Suami. Selain bahan di atas, bahan wajib ada sudah tentunya mee! Bukan mee kuning basah tapi mee kuning kering yang perlu direbus terlebih dahulu! Dan satu perkara lagi, bahan tambahan lain yang tidak dilupakan oleh mereka ialah sambal kicap siap perah jus limau kasturi! Ha ha haaa.... kalau kami makan gado-gado yang dibeli, sudah tentunya kuahnya terasa manis begitu saja, tapi kalau makan bersama keluarga Encik Suami, hilang rasa manis kuah, timbul rasa pedas masam manis sambal kicap!


Apa pun, setiap resepi itu memiliki keunikannya yang tersendiri.

Isnin, 29 Mei 2017

Amie's Little Kitchen : Top 50 Malaysia Food Blogs and Websites with Best Malaysia Recipes






Tiba-tiba terbaca kiriman nama Amie's Little Kitchen dari Feedspot Blog Reader. Bila Amie intai, inilah antara yang Amie dapat kongsikan :

Top 50 Malaysia Food Blogs and Websites with Best Malaysia Recipes




Malaysia Food Blogs List
The Best Malaysia Food blogs from thousands of top Malaysia Food blogs in our index using search and social metrics. Data will be refreshed once a week.
These blogs are ranked based on following criteria:
  • Google reputation and Google search ranking
  • Influence and popularity on Facebook, twitter and other social media sites
  • Quality and consistency of posts.
  • Feedspot’s editorial team and expert review

Top 50 Malaysia Food Blogs Winners

CONGRATULATIONS to every blogger that has made this Top Malaysia Food Blogs list! This is the most comprehensive list of best Malaysia Food blogs on the internet and I’m honoured to have you as part of this! I personally give you a high-five and want to thank you for your contribution to this world.
Tahniah kepada rakan food blogger yang lain. Amie di tempat  ke 30! Terima kasih yang tidak terhingga kepada admin Feedspot Blog Reader atas keprihatinan ini!
Top 50 Malaysia Food Blogs and Websites with Best Malaysia Recipes
http://blog.feedspot.com/malaysia_food_blogs/


Sambal Cencaluk Belimbing Buluh

Alhamdulillah.
Syukur kepadanya kerana memberi kesempatan untuk kita melalui hari ketiga berpuasa dibulan Ramadhan. Moga hari-hari seterusnya badan bertambah selesa menjalani ibadat puasa di bulan mulia ini.


Kali ini Amie hanya kongsikan resepi ringkas, tetapi sudah pastinya terasa begitu enak ketika dinikmati bersama keluarga di meja makan. Amie sempat sediakan ikan bakar dengan pencecahnya iaitu Sambal Cencaluk Belimbing Buluh. Alhamdulillah, walaupun Fuad dan Fairuz tidak menyentuh, tetapi Encik Suami makan dengan enaknya! Ternyata Sambal Cencaluk Belimbing Buluh memang cukup lazat dinikmati bersama ikan bakar dan nasi panas.

Bahan-bahan:
3 sudu besar cencaluk - tapiskan airnya
1 labu bawang besar - hiris nipis
1 biji tomato - hiris nipis
5 biji belimbing buluh - belah dua dan hiris nipis
15 biji cili padi kampung - hiris / potong dua
2 sudu besar jus limau kasturi
garam / gula / perasa pilihan secukupnya

Cara:
Gaulkan semua bahan dan biarkan selama 15 minit sebelum dinikmati.

Memang sedap!

Lamb Masak Sos Lada Hitam

Alhamdulillah. Syukur ke hadrat Ilahi kerana memberi kesempatan untuk kita menikmati hari ketiga berpuasa pada tahun ini. Mudah-mudahan segala amalan kita diterima oleh-Nya. Aamiin.
Pada masa yang sama, eloklah kita terus amalkan sikap bersederhana dalam menyediakan juadah berbuka dan bersahur untuk keluarga. Mudah-mudahan pembaziran dapat dielakkan di bulan mulia ini. Di kesempatan ini, Amie kongsikan resepi Lamb Masak Sos Lada Hitam. Memang enak dinikmati bersama nasi panas sebagai juadah berbuka puasa. Anak-anak pun suka, termasuklah si kecil Firdaus!


Bahan-bahan:
800 gram lamb - potong ikut suka
3 biji kentang - kupas dan potong dadu
1/2 biji capsicum merah - potong dadu
1/2 biji capsicum hijau - potong dadu
1/2 biji capsicum kuning - potong dadu
2 batang daun bawang - potong 2 cm
3 ulas bawang putih - hiris
3 biji bawang merah - hiris
1 labu bawang besar - hiris kasar
2 cm halia - hiris
2 sudu besar sos lada hitam
1 sudu kecil lada hitam - tumbuk
2 sudu besar sos tiram
3 sudu besar kicap manis ABC
2 cawan air
3 sudu besar minyak
garam / perasa pilihan jika perlu

Cara:
1. Panaskan minyak. Tumis bawang putih, bawang merah, bawang besar dan halia hingga terbit aroma.
2. Masukkan lamb dan gaul rata sehingga lamb kelihatan layu.
3. Tambahkan sos lada hitam, lada hitam tumbuk, kicap manis, sos tiram dan air. Biarkan hingga kuah mendidih.
4. Masukkan kentang dan tutup kuali. Masak hingga lamb empuk dan kuah menjadi pekat. Kacay sejali-sekala.
5. Masukkan capsicu merah, kuning dan hijau. Kacau sekali dua, dan akhir sekali taburkan hirisan daun bawang. 
5. Jika perlu boleh taburkan sedikit garam atau perasa pilihan. Amie tak tambah  garam atau sebarang perasa tambahan. 



Masakan ini agak ringkas tapi cukup menyelerakan!

Ahad, 28 Mei 2017

Ikan Panggang & Sambal Tomato

Anak-anak dan Encik Suami tak cerewet tentang makan. Baik hari biasa atau hari berpuasa, apa yang dhidiangkan itulah yang mereka jamah. Yang agak pening kepala sudah tentulah kita, tukang masak tak bertauliah! Kadang-kadang tak tahu nak masak apa, terutama bila menjelang waktu bersahur. Amie perhatikan, Encik Suami suka makan sayur berkuah ketika bersahur, jadi sebelum masuk tidur, Amie akan renih sup menggunakan slow cooker. Biasanya Amie campurkan kepingan ayam, lobak merah, cendawan shiitake dan juga white fungus. Bila bangun waktu sahur hanya masak nasi dan sediakan lauk lain seperti ikan panggang di bawah ini. Dan sebelum tidur juga, Amie akan sediakan beberapa keping ikan, perap dengan garam kunyit dan simpan dalam peti sejuk. Sementara menanti nasi tanak, Amie pun panggang ikan gunakan kuali ajaib. Senang saja kan?

Ikan alu-alu yang Amie panggang ini Amie hidangkan dengan sambal tomato. Memang Amie sudah sediakan sambal tomato lebih awal dalam kuantiti yang banyak! Waktu berbuka puasa pun boleh dimakan bersama ayam goreng atau ikan goreng! Walaupun sudah beberapa kali Amie paparkan resepi sambal tomato ini, tapi Amie kongsikan juga untuk entri kali ini sebagai tatapan bersama.

Bahan-bahan:
5 biji tomato - cincang / potong dadu
5 biji bawang besar - cincang / potong dadu
100 gram udang kering - rendam hingga kembang - toskan - kisar kering
asam keping / pati asam jawa (pilihan)
garam / gula secukupnya
1/2 cawan minyak

Bahan kisar:
50 gram cili padi kampung
10 biji bawang merah
10 biji bawang putih
5 biji buah keras
10 gram belacan

Cara:
1. Panaskan minyak, dan masukkan bawang besar. Goreng atau tumis hingga bawang besar berwarna layu kekuningan.
2. Kemudian masukkan udang kering yang dikisar / ditumbuk.
3. Masukkan pula bahan kisar.
4. Kacau rata, dan seterusnya masukkan tomato cincang.
5.Jangan lupa perlahankan api dapur dan selalulah kacau sambal ini. Kalau yang suka rasa lebih masam, bolehlah tambahkan pati asam jawa atau asam keping! 
6. Apabila semuanya sudah sebati, hancur lunyai, tambahkan garam atau perasa pilihan anda!

Untuk tutorial lengkap Sambal Tomato Sedap boleh klik di sini : SAMBAL TOMATO SEDAP.