Bismillahirrahmanirrahim.
Cuaca panas di negara kita dijangka akan berlanjutan sehingga bulan April. Bertabahlah ketika menghadapi cabaran begini terutama di saat kita sedang mengerjakan ibadah puasa. Barangkali hari ini merupakan hari paling panas di LD! Balik dari menoreh kita terus masuk bilik air dan bersiram dari hujung rambut hingga ke hujung kaki. Ampunkan hamba-Mu yang lemah dan tidak tahan menghadapi dugaan kecil ini ya Allah.
Kemudian kita tertidur. Terbawa-bawa pesanan Encik Suami dalam mimpi: Buatkan acar timun.
Apabila kita terjaga, Encik Suami sudah tinggalkan rumah, ambil Firdaus di sekolah agama. Ada ayam segar, timun, tauhu dan tempe di dapur. Ya, Encik Suami baru beli, entah di kedai runcit atau di pasar. Semuanya berlaku sewaktu kita tidur.
Jam menunjukkan hampir pukul lima petang. Hari ini waktu berbuka puasa dijadualkan pada pukul 6:18 minit petang. Jom ke dapur sediakan juadah untuk berbuka merangkap juadah untuk bersahur.
Hidangan Berbuka Puasa |
Menjelang pukul enam petang, siaplah hidangan untuk berbuka puasa. Walaupun kelmarin sudah berbuka puasa dengan acar timun, tapi hari ini Encik Suami minta buatkan lagi. Wokey! Acar timun siap! Ayam bahagian peha yang Encik Suami baru beli, Amie masak kicap. Gorengkan Firdaus tempe dan Amie tambahkan sup kurma merah campur white fungus, lobak merah, cendawan shiitake dan jagung serta sedikit ayam. Agak lama juga tidak hirup sup begini. Seperti biasa, Encik Suami tukang sediakan jus tembikai.
Jadinya, hidangan berbuka puasa kami hari ini:
- Nasi Putih
- Ayam Masak Kicap
- Acar Timun
- Sup Kurma Merah & White Fungus
- Tempe Goreng & Sambal Tempoyak
- Kurma Ajwa
- Jus Tembikai
Tempe Goreng & Sambal Tempoyak |
Kurma Ajwa - Pemberian mentua Abang Farid sewaktu kami berada Malaya akhir Februari lepas. |
Jus Tembikai |
Ayam Masak Kicap |
Biasanya kalau olah ayam masak kicap, Amie akan gunakan resipi orang kampung kami. Kenalah goreng ayam terlebih dahulu. Memandangkan masa agak suntuk sebab terlewat masuk dapur disebabkan mimpi-mimpi indah di petang hari, jadi Amie masak ringkas sahaja tanpa perlu menggorengnya terlebih dahulu. Tidak banyak bahan Amie masukkan, hanya kicap pekat serta bahan perasa sahaja seperti garam dan gula serta serbuk ayam Knorr.
Resipi Ayam Masak Kicap
Bahan-bahan:
- 2 kepingan ayam bahagian peha - potong lapan bahagian
- 2 biji kentang - kupas dan potong 4
- 1 batang serai - diketuk
- 2 sudu besar kicap pekat
- 1 labu bawang besar - mayang kasar
- 1 keping asam gelugur
- 4 cawan air
- garam / gula / perasa pilihan
- 4 sudu besar minyak
Bahan tumbuk:
- 3 ulas bawang putih
- 5 biji bawang merah
- 2 cm halia
- 1 sudu kecil lada hitam
Bahan penumis:
- 3 cm kulit kayu manis
- 3 kuntum bunga cengkih
- 2 kuntum bunga lawang
- 3 biji buah pelaga
Cara memasak:
- Panaskan minyak dalam kuali.
- Masukkan bahan penumis serta hirisan bawang besar. Tumis sehingga terbit aroma.
- Kemudian masukkan bahan tumbuk bersama serai.
- Setelah tumisan agak garing, masukkan ayam dan gaul rata.
- Biarkan ayam layu atau berubah warna.
- Tuangkan air dan kicap pekat serta asam gelugur.
- Biarkan masak sehingga mendidih dan kemudian perlahankan api.
- Masukkan kentang, garam / gula / perasa pilihan secukupnya.
- Apabila kuah mula memekat, ayam dan kentang empuk bolehlah padamkan api dapur.
Hidangan Berbuka Puasa |
Jemput berbuka puasa.
Bismillahirrahmanirrahim.